Friday 17 February 2012

Mutiara (VI)


HALAL & HARAM

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. ( Al Baqarah : 172 )

ULASAN AYAT :

1-        ALLAH telah mencipta agama, dan agama itulah yang menjadi panduan baik dan buruk sesuatu. Dalam Islam, apa yang halal itu baik dan apa yang haram itu buruk. Beramal dengan yang halal akan menjamin keselamatan dan kebahagiaan manusia dan begitu juga sebaliknya, beramal dengan yang haram akan membawa kepada kebinasaan dan kesengsaraan.

2-        Halal dan haram dalam Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia dari soal peribadi (tatacara pemakanan, pakaian, kewangan dan lain-lain) termasuklah kekeluargaan, kejiranan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Semua itu diatur dengan rapi agar manusia terhindar dari kebinasaan dan penderitaan serta dapat mencapai tahap kejayaan dan kebahagiaan maksima di dunia dan akhirat.

3-        Sepertimana yang kita ketahui, di dalam negara kita, bagi mendapat jaminan samaada sesuatu itu halal atau haram adalah berdasarkan kepada penyelarasan logo yang ditentukan khas sebagai penanda aras agar kita tidak tersalah.

4-        Orang mukmin yang benar-benar menjaga iman, isu halal dan haram adalah sesuatu yang UTAMA dalam kehidupan mereka, kerana sesungguhnya ALLAH itu baik tidak menerima melainkan yang baik sahaja.

5-        Kerosakan yang berlaku hari ini adalah akibat perbuatan manusia yang tergamak melakukan apa yang diharamkan. Dari kerosakan akhlak hinggalah kerosakan alam sekitar dan menjangkau ke kerosakan sistem ekonomi dan politik adalah kerana manusia melakukan perkara yang diharamkan. Bukankah ALLAH memerintahkan manusia berlaku adil dan ihsan dan mengharamkan kejahatan, kemungkaran dan kezaliman? Namun akibat fitrah manusia yang telah terhakis maka manusia banyak melakukan kejahatan dan kezaliman. Rasuah, tipu, tamak, fitnah dan bunuh adalah antara banyak perkara haram yang telah dilakukan manusia hingga mengakibatkan kebinasaan dan kesengsaraan.

6-        Semuanya berpunca daripada kecuaian umat Islam hari ini dalam mengambil sebarangan makan, pakai dan wang tanpa indah akan halal dan haramnya. Justeru, kita hendaklah mengambil kira secara teliti dengan apa yang kita ambil, kerana sesungguhnya perkara halal dan haram adalah sesuatu utama dalam membentuk diri yang baik seterusnya masyarakat dan negara yang baik. Malah punca kemana hala tuju kita diakhirat kelak samada syurga atau neraka. 

WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment