Wednesday 29 February 2012

Solatlah Wahai Anakku


Lembutku kenang, kasihmu ibu, di dalam hatiku kini menanggung rindu, kau tabur kasih, seumur masa, bergema syahdu oh di dalam nadiku.
Begitu syahdu bait lirik lagu yang dipetik daripada sebuah filem yang diadaptasikan dari sebuah novel karya penulis Tere Liye yang telah mencapai tahap "best seller" di negara jiran kita. Bukanlah tujuan saya untuk membuat promosi atau iklan untuk hasil seni orang lain. Apa yang ingin dikongsikan dalam ruangan kali ini ialah mesej yang dapat dirungkai daripada filem berkenaan iaitu kepentingan solat. Solat adalah tanggungjawab penting bagi setiap insan dan merupakan perkara pertama yang akan dihisab. Soalan yang berlegar-legar, apakah betul solat kita, apakah diterima oleh Allah? Semoga Allah menerima solat kita semua, Insya Allah, Amiin.
Berbalik kepada topik asal, melatih anak- anak untuk memulakan solat seawal 5 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam  menyarankan kita melakukan tarbiah solat kepada anak dengan cara yang berhikmah. Anak yang telah sampai umur 7 tahun jika mumayyiz (tahu membezakan antara perkara baik dan buruk), disuruh atas dasar sunnah mendirikan solat.Jika mereka telah berumur 10 tahun, wajiblah diperintahkan mereka mendirikan solat. Dibolehkan untuk  memukul (dengan niat mendidik)  jika mereka enggan mendirikannya.
Berdasarkan pengalaman sendiri, cara pemaksaan dilihat tidak efektif kerana tiadanya nilai ikhlas menerusi modus operandi ini. Mereka mungkin akan melakukannya, tetapi dengan rasa marah dan tidak sabar. Kekangan masa kadang-kadang melalaikan kita untuk memantau amali solat yang dilakukan oleh anak-anak. Apa yang menarik, ada di kalangan anak-anak yang terbiasa melihat ibu bapanya solat, secara tiba-tiba akan menuruti gerak solat seperti mengangkat takbiratul ihram, rukuk atau sujud.

Adakalanya penulis tersenyum sendiri taktala mengingatkan bagaimana almarhumah bonda mengajar dan seterusnya menjelaskan bahawa solat itu kewajipan yang teramat penting. Penting untuk menjaga diri semasa dunia dan membantu diri di akhirat kelak. Analogi bahawa diri ini terdiri daripada elemen rohani (amalan) dan jasmani (fizikal/jasad) memerlukan makanannya setiap hari. Sekiranya tidak solat mahupun melakukan kebaikan, ternyata rohani dalam keadaan lemah. Berbanding jasmani yang beroleh makanan setiap hari melalui rutin makan minum, rohani memerlukan ketaatan dalam beribadah secara konsisten. Alhamdulillah, cara ini amat efektif buat diri penulis dan cuba diturunkan kepada anak-anak sendiri.
Berbalik kepada novel dan filem yang disebutkan di atas, secara peribadi, saya merumuskan mesej yang diketengahkan ialah solat adalah kewajipan yang mesti didahulukan, merentasi segala perkara. Justeru, pemahaman tentang semua elemen di dalam solat seperti rukunnya, bacaan, praktikal serta perkara berkaitan sah dan batalnya perlu diambil perhatian khusus. Kita biasa mendengar, solat tiang agama. Ya, ianya berdasarkan Hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang berbunyi:
"Solat itu ialah tiang agama, maka barang siapa yang mendirikannya maka sungguh dia telah menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya sungguh mereka telah meruntuhkan agama."
(Hadith Riwayat Bukhari daripada Umar Radiallahu 'Anhu).
Kepentingan Solat
Solat merupakan ibadat yang disyariatkan dalam Islam.
Allah berfirman dalam ayat 72, Surah Al-An'aam yang bermaksud: Dan (diperintahkan):
Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak). Ibadat solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di Akhirat nanti.
Analoginya, setelah menjalani peperiksaan penting, debaran menunggu keputusan pencapaian adalah satu saat yang mendebarkan. Begitu juga solat, apakah memenuhi skema yang diredhai Allah?Jadi, tidaklah pelik jikalau solat wajib dipupuk sejak kecil lagi, bukan ketika sudah mencapai usia akil baligh. Amat menyedihkan juga, jika kita lebih menitikberatkan pendidikan yang lebih bersifat duniawi. Sebagai ibubapa yang bijak, kita seharusnya tahu memastikan keseimbangan dunia dan akhirat buat anak-anak kita seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77  yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
Seterusnya, solat adalah penangkis terhadap segala anasir-anasir negatif yang boleh membawa kepada keburukan.
Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 45 yang bermaksud:
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".
Kesan solat yang sempurna dapat dilihat daripada ketenangan jiwa, sifat zuhud dan sabar dalam kehidupan harian. Mungkin kadangkala kita dapati ada orang yang masih melakukan maksiat dan perkara buruk walaupun taat dalam ibadat solatnya. Dalam konteks ini, memahami konsep solat secara mendalam yang membawa kepada kekusyukan dan tawaduk merupakan elemen penting yang perlu diutamakan. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tetapi lebih dari itu.

Solat yang berkesan menjadikan sesorang itu fokus dalam pengibadatannya dan segala apa yang berlaku di sekelilingnya tidak didengari. Ini kerana seluruh jiwanya dibulatkan untuk solat dan kesannya terlihat pada keluhuran peribadi seseorang itu.
Menerusi solat, pelbagai jati diri positif diterap seperti taat, sabar, ikhlas, muhasabah dan banyak lagi. Sifat taat seorang hamba terhadap perintah Penciptanya. Solat fardhu merupakan ibadah yang ditentukan waktunya bagi setiap seseorang yang mukallaf. Justeru, kita dapat melihat sesetengah orang mengingkari kewajipan solat tanpa alasan yang dibenarkan oleh Syar'ie.
Leka melakukan kerja-kerja rumah, menonton televisyen, berbual-bual kosong merupakan sebab-sebab biasa yang boleh kita perhati apabila seseorang itu sewenang-wenangnya mengingkari solat. Melewat-lewat atau meremehkan solat juga tidak digalakkan dalam Islam kerana sifat taat setiap hamba diuji di sini. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 238 yang bermaksud:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk".
Solatlah Wahai Anakku
Bekalan terbaik buat seorang Muslim setelah meninggalkan alam fana ini ialah amalnya. Dari Abu Hurairah Radiallah 'Anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda :
"Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya."
(Hadith Riwayat Bukhari).
Doa pastinya datang dari segala ibadah terutamanya solat. Ayuh kita perbaiki diri sendiri, keluarga dan seterusnya menyebarkannya kepada masyarakat. Saya melihat kepentingan solat yang wajib kita terapkan kepada anak-anak kita. Semoga kita dijauhkan dari golongan yang rugi di sisi Allah, di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat kelak. ~Wallahu A'lam~



Saturday 25 February 2012

Nama Bayi-bayi Islam yang baik,buruk dan melucukan


Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, ibu dan bapa sudah berkira-kira untuk mencari nama yang sesuai untuk anak yang tersayang.
Mencari nama yang baik bukan untuk mendapat pujian.
Atau untuk melambangkan status sosial dan seumpamanya.
Tetapi ia adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama.
Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abu Darda' RA. katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu."
Memperelokkan nama bermaksud memilih nama yang selari dengan tuntutan Islam.
Memilih nama perlu ada tujuan.
Bukan sekadar untuk memudahkan panggil atau untuk menggabungkan nama ibu dan bapa serta datuk-datuk dan nenek-nenek, bahkan ia berkaitan dengan soal pembentukan peribadi anak itu.
Bukankah panggilan itu mengandungi doa?
Setiap orang yang memangilnya, dikira membuat doa untuknya.
Jika seorang anak itu namanya 'Mujahid' yang bermaksud seorang pejuang atau orang yang berjihad, setiap orang akan memanggilnya dengan gelaran pejuang.
Secara tidak langsung dia didoakan untuk menjadi pejuang pada jalan Allah SWT.
Sebaliknya jika seorang itu dinamakan dengan nama 'Hazan' yang bermaksud berdukacita, setiap orang akan memanggilnya sebagai seorang yang sedang sedih dan berdukacita.
Secara tidak langsung pangilan demi panggilan itu boleh memberikan kesan kepadanya.
Nama Yang Tidak Baik
Malangnya hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat soal nama. Ada yang memilih nama yang kelihatan indah tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa erti, atau lebih malang lagi ia membawa erti yang negatif.
Mereka suka nama-nama yang nampak moden seperti Natasya, Zana, Susan, Hyfa, Dayanty atau seumpamanya.
Lebih menyedihkan lagi, jika nama-nama itu ditiru atau diambil nama-nama orang kafir.
Ada juga yang menggabungjalin nama ibu dan bapa.
Mereka lakukan tanpa mengambil kira maksud gabungan perkataan itu .
Contohnya, ibu yang bernama Safrina dan bapa bernama Ihsan, anaknya diberi nama Safih Insan, yang bermakna 'Manusia yang Bodoh'.
Kadang-kadang nama yang digabungkan itu menjadi panjang tanpa sebarang erti seperti Nor Sajamifulah Niruszam atau seumpamanya.
Terdapat dikalangan ibu bapa yang cuba memberikan nama yang baik tetapi mereka tersilap langkah, contohnya meletakkan perkataan Abdul atau lebih tepatnya 'Abd yang membawa maksud Hamba dengan perkataan lain selain nama-nama Allah seperti Abdul Muhammad, dan Abdul Musa.
Ada juga yang silap dengan hanya meletakkan perkataan Abdul untuk anaknya.
Jika mahu ringkas mereka sebenarnya boleh menggunakan nama Abduh yang bermaksud Hamba-Nya.
Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang mahu menggunakan kreativiti dengan menamakan anaknya sempena sesuatu peristiwa atau tempat sehingga menjadi janggal seperti Mohd Felda, Nor Malaysia, Saiful Johori, Mohd Toyota, Siti Sukom dan seumpamanya.
Mereka sebenarnya menjadikan anak-anak mereka mangsa ejekan sepanjang hayat.
Jika bapa tersilap memilih nama, maka sewajarnya dia berusaha agar nama itu ditukar kepada nama yang lain.
Rasulullah SAW pernah bertindak menukar nama seseorang dengan nama yang lebih baik.
Al-Termizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Sayyidina Umar bin Al-Khattab RA mempunyai seorang anak perempuan namanya 'Aashiah (Penderhaka), maka Rasulullah SAW menukarkan namanya menjadi Jamilah (Yang Cantik).
Sebaik-baiknya para bapa merujuk kepada para ilmuan atau sekurang-kurangnya membelek buku-buku panduan sebelum memilih nama yang sesuai untuk anak.
Ingatlah bahawa nama itu adalah identiti terpenting bagi seseorang manusia.
Kesan pemberian nama itu bukan terhenti setakat di dunia sahaja bahkan melarat sehingga ke akhirat.
Oleh itu, menjadi kemestian kepada para bapa untuk memilih nama yang baik-baik.
Nama Yang Baik
Rasullullah SAW menganjurkan agar anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang mempunyai maksud baik atau dinisbahkan kepada orang yang baik.
Bapa-bapa boleh memilih nama-nama Rasul seperti Hud, Nuh, Ilyasak dan lain-lain; atau nama para sahabat seperti Mus'ab, Mu'az, Talhah, Zubair, Handzalah dan lain-lain; atau nama para 'ulama' seperti As Syafie, Al Bukhari, As Subki, Al Andalusi, Al Tabari, Al Nakhai'i, Al Zamakhsyari, Ibnu Qayyim, Ibn Taimiyyah, Al 'Izz dan lain-lain.
Mudah-mudahan anak itu, dapat menghayati kehebatan tokoh-tokoh silam lantas menjadikannya sebagai ikutan.
Antara nama yang afdhal ialah nama yang dinisbahkan kepada nama Allah, tetapi dimulai dengan kalimah 'Abd.
Nama-nama Abdullah, Abdul Quddus, Abdul Jabbar, Abdul Qahhar, Abdul Fattah, Abdul Mu'izz dan lain-lain adalah contoh bagi kategori ini.
Di samping itu para bapa digalakkan memilih nama-nama yang mempunyai nama indah dan seboleh-bolehnya tepat dengan nahu Arab.
Contohnya nama Saif bermakna pedang, tetapi nama Saiful tidak mempunyai apa-apa makna kecuali jika disandarkan kepada perkataan lain seperti Saiful Islam yang bermaksud Pedang Islam.
Sebaik-baiknya juga nama yang dipilih itu menepati kesesuaian jantinanya.
Kesimpulannya, ibu bapa yang akan menyambut bayi perlu membuat persediaan awal sebelum tiba masa kelahiran.
Persediaan seperti, membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir dan bertafakur serta mencari nama yang sesuai untuk anak perlu diutamakan.
Sebagai pendidik, ibu dan bapa tidak boleh mengambil lewa soal-soal ini.
Ingatlah, apa yang disemai hari ini, itulah yang akan dituai esok hari.

Wednesday 22 February 2012

7M Agar Anak Selalu Hidup Bersama Al-Quran


Setiap orang tua pasti menginginkan buah hatinya menjadi anak yang soleh dan solehah.
Anak soleh-solehah merupakan harta yang paling berharga bagi orang tua.
Untuk mendapatkan semua itu, tentu harus ada kesungguhan yang tinggi dari orang tua dalam mendidik anak.
Salah satu yang wajib diajarkan kepada anak adalah segala hal tentang al-Quran kerana ia adalah pedoman hidup manusia.
Rasulullah SAW pernah bersabda (yang ertinya):
Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran kerana orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci.  - HR ath-Thabrani
Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.  - QS al-Isra' (17: 9)
Bila al-Quran sebaiknya diajarkan pada anak? Tentu seawal mungkin.
Semakin awal semakin baik. Akan sangat bagus jika sejak anak dalam kandungan seolah-olah calon anak kita itu sudah terbiasa 'hidup bersama' al-Quran; yakni ketika si ibu yang mengandungnya, rajin membaca al-Quran.

7M Agar Anak Selalu Hidup Bersama al-Quran 

01.Mengenalkan
Saat yang paling tepat mengenalkan al-Quran adalah ketika anak sudah mulai tertarik dengan buku. Sayang, banyak orang tua yang lebih suka menyimpan al-Quran di rak almari paling atas.
Sesekali perlihatkanlah al-Quran kepada anak sebelum mereka mengenal buku-buku lain, apalagi buku dengan gambar-gambar yang lebih menarik.
Mengenalkan al-Quran juga boleh dilakukan dengan mengenalkan terlebih dulu huruf-huruf hijaiyah; bukan mengajarinya membaca, tetapi sekadar memperlihatkannya sebelum anak mengenal A, B, C, D.
Tempelkan gambar-gambar tersebut di tempat yang sering dilihat anak; lengkapi dengan gambar dan warna yang menarik.
Dengan sering melihat, anak akan terpancing untuk bertanya lebih lanjut.
Saat itulah kita boleh memperkenalkan huruf-huruf al-Quran.

02.Memperdengarkan
 
Memperdengarkan ayat-ayat al-Quran boleh dilakukan secara langsung atau dengan memainkan kaset atau CD.
Kalau ada teori yang mengatakan bahwa mendengarkan muzik klasik pada janin dalam kandungan akan meningkatkan kecerdasan, insyaAllah memperdengarkan al-Quran akan jauh lebih baik pengaruhnya bagi bayi.
Apalagi jika ibunya yang membacanya sendiri. Ketika membaca al-Quran, suasana hati dan fikiran ibu akan menjadi lebih khusyuk dan tenang.
Kondisi seperti ini akan sangat membantu perkembangan psikologi janin yang ada dalam kandungan.
Ini kerana, secara teori kondisi psikologi ibu tentu akan sangat berpengaruh pada perkembangan bayi, khususnya perkembangan psikologinya.
Kondisi tertekan pada ibu tentu akan berpengaruh buruk pada kandungannya. Memperdengarkan al-Quran boleh dilakukan bila-bila sahaja dan di mana sahaja; juga tidak mengenal batas usia anak.
Untuk anak-anak yang belum boleh berbicara, insyaAllah lantunan ayat al-Quran itu akan terakam dalam memorinya.
Jangan pelik kalau tiba-tiba si kecil lancar melafazkan surah al-Fatihah, misalnya, begitu dia boleh berbicara.
Untuk anak yang lebih besar, memperdengarkan ayat-ayat al-Quran (surah-surah pendek) kepadanya terbukti memudahkan si anak menghafalkannya.

03.Menghafalkan
 
Menghafalkan al-Quran boleh dimulai sejak anak lancar berbicara.
Mulailah dengan surah atau ayat yang pendek atau potongan ayat (misalnya fastabiq al-khayrât, hudan li an-nâs, birr al-walidayn, dan sebagainya).
Menghafal boleh dilakukan dengan cara seringkali membacakan ayat-ayat tersebut kepada anak. Jadi latihlah anak untuk menirunya.
Hal ini dilakukan berulang-ulang sampai anak hafal di luar kepala. Masa kanak-kanak adalah masa meniru dan memiliki daya ingat yang luar biasa.
orang tua harus menggunakan kesempatan ini dengan baik jika tidak ingin menyesal kehilangan masa emas (golden age) pada anak.
Supaya anak lebih mudah mengingat, ayat yang sedang dihafal anak boleh juga sering dibaca ketika ayah menjadi imam atau ketika naik kereta dalam perjalanan.
Disamping anak tidak mudah lupa, hal itu juga sebagai usaha membiasakan diri untuk mengisi kesibukan dengan amalan yang bermanfaat.
Nabi SAW bersabda: Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sesungguhnya hafalan al-Quran itu lebih cepat lepasnya daripada seekor unta pada tambatannya. - HR al-Bukhari dan Muslim

04.Membaca
 
Siapa saja yang membaca satu huruf dari Kitab Allah maka dia akan mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipat.
Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim adalah satu huruf. Akan tetapi, alif adalah satu huruf, lam satu huruf, dan mim juga satu huruf. (HR at-Tirmidzi).
Sungguh luar biasa pahala dan kebaikan yang dijanjikan kepada siapa saja yang biasa membaca al-Quran.
Bimbing dan doronglah anak agar terbiasa membaca al-Quran setiap hari walau cuma beberapa ayat.
orang tua penting memberikan contoh.
Jadikanlah membaca al-Quran, terutamanya pada pagi hari usai solat subuh atau usai solat maghrib, sebagai kegiatan rutin dalam keluarga.
Ajaklah anak-anak yang belum boleh membaca untuk bersama-sama mendengar abang-kakaknya yang sedang membaca al-Quran.
orang tua mempunyai kewajipan untuk mengajarkan kaedah-kaedah dan adab membaca al-Quran.
Untuk boleh membaca al-Quran, termasuk mengetahui kaedah-kaedahnya, sekarang ini tidaklah sulit.
Telah banyak metode yang ditawarkan untuk boleh mudah dan cepat membaca.
Ada metode Iqra, Qiroati dan sebagainya.
Metode-metode itu telah terbukti memudahkan ribuan anak-anak bahkan orang tua untuk mahir membaca al-Quran.
Alangkah baiknya membaca al-Quran ini dilakukan secara bersama-sama oleh anak-anak di bawah bimbingan orang tua.
Ketika seorang anak membaca, yang lain menyemaknya.
Jika anak salah membaca, yang lain boleh membetulkan.
Dengan cara itu, rumah akan selalu dipenuhi dengan bacaan al-Quran sehingga berkat.

05.Menulis
 
Belajar menulis akan mempermudah anak dalam belajar membaca al-Quran. Ajarkan kepada anak kata-kata tertentu yang mempunyai makna.
Dengan begitu, selain anak boleh menulis, sekaligus anak belajar bahasa Arab.
Mulailah dengan kata-kata pendek.
Misalnya, untuk mengenalkan tiga kata alif, ba, dan dal anak diminta menulis a, ba da (tolong tuliskan Arabnya, ya: a-ba-da) ertinya diam; ba-da-a (yang ini juga) ertinya mulai; dan sebagainya.
Sesekali di rumah, cuba adakan lumba menulis ayat al-Quran.
Berilah hadiah untuk anak yang paling kemas menulis. Jika anak memiliki kemampuan yang lebih dalam menulis huruf al-Quran, mereka boleh diajari lebih lanjut dengan mempelajari seni kaligrafi.
Rangkaian huruf menjadi sukukata yang mengandungi erti bertujuan untuk melatih anak dalam memperkaya kosakata, di samping memberikan kesempatan bagi mereka untuk bertanya tentang setiap kata yang diucapkan serta mengembangkan cita rasa seni mereka.
Jadi, tidak hanya bertujuan mengenalkan huruf al-Quran semata-mata.

06.Mengkaji
 
Ajaklah anak mula mempelajari isi al-Quran. Ayah boleh memimpinnya setelah solat maghrib atau subuh.
Paling tidak, seminggu sekali pelajaran sekeluarga ini dilakukan.
Tajuk yang diketengahkan boleh jadi tajuk-tajuk yang ingin disampaikan berkaitan dengan perkembangan perilaku anak selama satu minggu atau beberapa hari.
Kajian bersama, dengan merujuk pada satu atau dua ayat al-Quran ini, sekaligus dapat menjadi sarana tawsiyah untuk seluruh anggota keluarga.
Pada waktu yang sama, tajuk yang akan dikaji boleh diserahkan kepada anak-anak.
Adakalanya anak diminta untuk memimpin kajian.
orang tua boleh memberi arahan atau pembetulan jika ada hal-hal yang kurang tepat.
Cara ini sekaligus untuk melatih keberanian anak menyampaikan isi al-Quran.

07.Mengamalkan dan memperjuangkan
 
Al-Quran tentu bukan hanya untuk dibaca, dihafal dan dikaji.
Justeru yang paling penting adalah diamalkan seluruh isinya dan diperjuangkan agar benar-benar dapat menyinari kehidupan manusia.
Sampaikan kepada anak tentang kewajiban mengamalkan serta memperjuangkan al-Quran dan pahala yang akan diraihnya. InsyaAllah, hal ini akan memotivasikan anak.
Kepada anak juga boleh diceritakan tentang bagaimana para Sahabat dulu yang sangat teguh berpegang pada al-Quran; ceritakan pula bagaimana mereka bersama Rasulullah sepanjang hidupnya berjuang agar al-Quran tegak dalam kehidupan.