Thursday 16 February 2012

Mutiara Hati (V)


BERAMAL SOLEH & SENTIASA MERASA CUKUP

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (An Nahl ; 97 )

ULASAN AYAT :

1.        Beramal soleh, maka ALLAH akan sempurnakan kebaikan untuk kehidupan kita di muka bumi ALLAH ini. ALLAH akan cukupkan kebaikan itu pula kepada mereka yang merasa cukup dengan kurniaan ALLAH sekalipun sedikit.

2.        Kita hendaklah menerima segala yang telah diberikan oleh ALLAH setelah beramal soleh sekalipun ianya buruk. Sudah pasti kita akan berjumpa pelbagai masalah, urusan, perkara di dalam kehidupan kita. Namun apabila kita melakukan amal kebaikan pasti kita akan mendapat kehidupan yang baik sekalipun dirundung dengan pelbagai masalah dan ujian sepertimana yang dijanjikan ALLAH. Ada orang yang hanya hanya berpendapatan RM2000 tenang sahaja air muka dan tutur katanya walaupun mempunyai hal yang pelbagai, masalah atau anak yang ramai. Tetapi ada orang yang pendapatan mencecah hampir RM50,000 sebulan tetapi mengapa tidak tenang raut wajahnya dan sentiasa hidup dalam keluh kesah? Ini semua berpunca daripada “ Sejauhmana dihabisi hidupnya, waktu dan masanya untuk kebaikan atau sebaliknya” .

3.        Semuanya kerana AGAMA yang memimpin kita bukan wang ringgit atau kemewahan. Cintailah dunia berpada-pada dan insyaALLAH akan tenang hidup kita. Lakukanlah amal soleh dengan sehabis usaha maka akan bahagialah hidup kita. Seperti kata-kata Imam Sufyan at-Thaury: " Perbaikilah urusan dalamanmu dengan ALLAH, ALLAH akan perbaiki urusan luaranmu. Perbaikilah hubunganmu dengan ALLAH, DIA akan perbaiki urusanmu dengan manusia. Beramallah untuk akhiratmu, ALLAH akan jamin urusan duniamu. Juallah duniamu dengan akhirat, engkau akan beroleh keuntungan kedua-duanya. JANGAN jual akhiratmu dengan dunia...kelak engkau akan rugi kedua-duanya."   
WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment